Kamis, 02 April 2009

99 RISALAH-RISALAH KEBENARAN : • Mukjizat Nabi Yunus


MUKJIZAT NABI YUNUS
Menurut kedua-dua Al-Kitab dan Al-Qur'an, Hazrat Isa al-Masih melakukan banyak mukjizat-mukjizat yang ajaib semasa pelayanan singkat tiga tahunnya di bumi Palestin. Ramai orang Yahudi percaya kepadanya setelah menyaksikan keajaiban-keajaiban dan mukjizat-mukjizat yang dilakukan. Mahupun begitu, pemimpin-pemimpin rakyat Yahudi enggan percayakan dia dan walaupun mukjizat-mukjizatnya terkenal luas, mereka sering memaksanya untuk melakukan mukjizat, mahupun tanda dari syurga (Matius 16.1). Pada satu ketika, Hazrat Isa menjawab bahawa dia hanya akan memberi mereka satu mukjizat sahaja:

"Alangkah jahat dan derhakanya orang zaman ini! Kamu meminta Aku melakukan mukjizat? Tidak! Satu-satunya mukjizat yang akan ditunjukkan kepada kamu adalah mukjizat Nabi Yunus. Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut ikan besar, demikian juga Anak Manusia akan tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut bumi.". Matius 12.39-40.
Nabi Yunus ialah satu daripada nabi-nabi bani Israil termasyhur, dan dia telah dipanggil Allah berkhabar kepada satu bandar Asyur iaitu Niniwe dan mengisytiharkan kemusnahan yang bakal menimpa. Akan tetapi Nabi Yunus melarikan diri di atas sebuah kapal ke Sepanyol, dan apabila angin ribut besar kencang memukul kapal, dia telah dibuang ke dalam laut lalu ditelan oleh seekor ikan besar. Namun, setelah tiga hari berada di dalam perut ikan, dia dimuntah hidup-hidup ke daratan lalu menuju ke bandar.

Hazrat Isa menggelar peristiwa tiga-hari di dalam perut ikan ini sebagai "Mukjizat Nabi Yunus" dan menyata bahawa itulah satu-satunya mukjizat yang rela diberinya kepada orang Yahudi yang enggan percayanya. Sekitar tahun 1976, Ahmed Deedat dari Islamic Propagation Centre di Durban menerbit sebuah risalah yang bertajuk "Christ was the Sign of Jonah?". Tajuk itu mungkin membawa gambaran hasil penyelidikan teliti mengenai subjek tersebut kepada si pembaca. Akan tetapi, adalah didapati bahawa Deedat tidak sekali menjawab soalannya tetapi terus melancarkan serangan ke atas pernyataan Hazrat Isa itu dan berusaha untuk membidasnya. Hujah-hujahnya adalah berdasarkan dua andaian, iaitu sekiranya Nabi Yunus hidup sepanjang masanya di dalam perut ikan, maka Hazrat Isa sudah tentu masih hidup setelah diturunkan dari salib; dan jika Hazrat Isa disalibkan pada hari Jumaat dan bangkit pada pagi Ahad, maka dia tidak mungkin telah berada sepanjang tiga hari dan tiga malam di dalam kubur. Kita akan menimbangkan kedua-dua andaian ini menurut turutan dan selepas itu akan mengkaji secara menyeluruh subjek ini untuk mengenal apakah sebenarnya "Mukjizat Nabi Yunus" itu.

1. ADAKAH HAZRAT ISA HIDUP ATAU MATI DI DALAM KUBUR?
Adalah satu hakikat di dalam tafsiran-tafsiran Kristian ke atas kitab Yunus di dalam Al-Kitab bahawa nyawa Nabi Yunus dikekalkan secara ajaib semasa dia berada di dalam perut ikan di dalam laut. Sepanjang pengalamannya itu tidak sekali dia mati dan dia muncul di daratan dalam keadaan hidup sama seperti sebelum dia dibuang ke dalam maut.

Di dalam bukunya, Deedat telah mengambil beberapa ayat dari teks di atas luar dari konteks mereka dan menyebabkan pernyataan itu dibaca "Sebagaimana Yunus telah.... demikianlah Anak Manusia akan" dan membuat kesimpulan:

Jika Nabi Yunus hidup selama tiga hari dan tiga malam, maka Hazrat Isa juga harus hidup di dalam kubur sebagaimana telah dinubuatnya. (Deedat, Christ was the Sign of Jonah?, p.6).
Walaupun Hazrat Isa hanya telah berkata bahawa persamaan di antara dia dengan Nabi Yunus adalah di dalam tempoh mereka akan mengalami "pengasingan" - Nabi Yunus di dalam perut ikan, Hazrat Isa di dalam perut bumi - Deedat telah membuang rujukan yang menerangkan ini dan mendakwa bahawa Hazrat Isa mesti juga sama seperti Nabi Yunus dalam perkara-perkara yang lain, seperti keadaan Nabi Yunus yang hidup di dalam perut ikan. Apabila pernyataan Hazrat Isa dibaca sepenuhnya, adalah jelas bahawa persamaan hanya terikat kepada faktor masa sahaja. Seperti Nabi Yunus telah tiga hari dan tiga malam berada di dalam perut ikan, demikianlah Hazrat Isa akan berada di dalam perut bumi untuk tempoh yang sama. Perkara ini tidak boleh ditokok-tambah lagi, seperti apa yang dilakukan Deedat, dan ditafsirkan sebagai menyatakan bahawa Nabi Yunus dalam keadaan HIDUP di dalam perut ikan, maka Hazrat Isa juga HIDUP di dalam kubur. Hazrat Isa tidak menyatakan ini dan penafsiran sebegini tidak timbul daripada pernyataannya tetapi telah dibaca ke dalamnya. Tambahan pula, semasa memperkatakan penyalibannya yang bakal menimpa, Hazrat Isa telah menggunakan ungkapan yang hampir sama, dalam situasi lain yang menjelaskan hujah kita dengan sempurna:

"Sebagaimana ular gangsa ditinggikan oleh Musa pada sebatang kayu di padang gurun, begitu jugalah Anak Manusia harus ditinggikan" Yahya 3.14
Di sini persamaanya jelas terletak pada "ditinggikan." Sebagaimana ular gangsa DITINGGIKAN oleh Musa begitu jugalah Anak Manusia harus DITINGGIKAN, yang satu untuk penyembuhan orang Yahudi dan yang terkemudian untuk penyembuhan semua negara. Dalam kes ini, ular gangsa yang digubah Musa tidak bernyawa dan sekira logik Deedat dikenakan ke atas ayat ini, kita harus anggap bahawa ini bermaksud bahawa Hazrat Isa seharusnya sudah mati sebelum dia ditinggikan, mati di atas salib, dan mati semasa diturunkan dari salib. Bukan sahaja ini tidak masuk akal, tetapi kontradiksi di dalam keadaan Nabi Yunus dan ular gangsa (yang pertama sentiasa hidup sepanjang penderitaannya, dan yang terkemudian sentiasa tidak bernyawa semasa digunakan sebagai simbol di atas tiang) menunjukkan bahawa Hazrat Isa hanya membuat perbandingan di antara dia dengan Nabi Yunus dan ular gangsa masing-masing dalam butir-butir yang disebutnya dengan terang - TIGA HARI DAN TIGA MALAM dan DITINGGIKAN di atas tiang. Adalah tidak relevan samada Nabi Yunus masih hidup atau tidak - ini tidak ada kena-mengena dengan perbandingan yang dilakukan Hazrat Isa.

Dengan membuang rujukan kepada tempoh di dalam kes Nabi Yunus, Deedat membuat pernyataan Hazrat Isa dibaca sebagai "Sebagaimana Yunus...demikianlah Anak Manusia akan" dan ianya dari perbandingan yang tidak terbatas ini, Deedat cuba meluaskan perbandingan kepada keadaan nabi yang di dalam perut ikan. Tetapi jika kita menggunakan metod yang sama ke atas ayat kedua yang kita gunakan, pemahaman yang bertentangan menjadi kesimpulan. Dalam kes ini, pernyataan itu boleh dibaca sebagai: "Sebagaimana ular gangsa... demikianlah Anak Manusia akan" dan keadaan ular itu sentiasa tidak bernyawa. Ini jelas menunjukkan bahawa di dalam setiap kes, Hazrat Isa tidak berniat meluaskan persamaan di antara dia dengan nabi itu atau objek yang disebutnya kepada soal hidup atau mati, tetapi hanya kepada perbandingan-perbandingan yang dinyatakannya dengan jelas. Demikianlah, bantahan pertama Deedat hancur berkecai. Satu kesimpulan yang bercanggah secara automatik akan berhasil daripada pendekatannya dan tiada bantahan atau hujah yang menyahkan diri sendiri boleh berharap diberi perhatian yang serius.

2. TIGA HARI DAN TIGA MALAM.
Orang Kristian di merata-rata setuju dengan sepakat, sehati, sejiwa (dengan sedikit pengecualian), bahawa Hazrat Isa telah disalibkan pada hari Jumaat dan dia telah bangkit dari alam maut pada pagi Ahad setelah itu. Berikutan itu, Deedat mendakwa bahawa hanya terdapat satu hari di mana Hazrat Isa berada di dalam kubur, iaitu hari Sabtu dan jangka masa ini termasuk dua malam, iaitu malam Jumaat dan malam Sabtu. Dia pun berusaha untuk menyangkal Mukjizat Nabi Yunus berdasarkan faktor masa ini yang jelas disebut oleh Hazrat Isa dan membuat kesimpulan berikut:

Kedua, kita mendapati bahawa dia gagal memenuhi faktor masa juga. Tokoh matematik yang termasyhur di dalam dunia Kristian akan gagal mendapati keputusan yang dikehendaki - tiga hari dan tiga malam. (Deedat, What was the Sign of Jonah, p.10).
Malangnya, di sini, Deedat gagal memerhati bahawa terdapat perbezaan besar di antara percakapan Ibrani di dalam abad pertama dan percakapan Inggeris dalam abad kedua puluh. Kita dapati bahawa dia berulang kali berkecenderungan ke arah kesilapan ini apabila dia cuba menganalisa subjek-subjek alkitabiah. Dia gagal membuat pertimbangan kepada hakikat bahawa ketika masa itu, hampir dua ribu tahun yang lalu, orang Yahudi mengira sebahagian dari sehari sebagai satu hari yang penuh apabila mengira satu urutan masa. Semasa Hazrat Isa dikebumikan pada petang hari Jumaat, berada di dalam kubur sepanjang hari Sabtu dan bangkit sebelum waktu subur pada hari Ahad (Rasminya, hari Ahad bermula pada waktu matahari benam pada hari Sabtu mengikut kalendar Yahudi), tidak timbul persoalan bahawa dia berada di dalam kubur untuk jangka masa tiga hari.

Kejahilan Deedat mengenai cara pengiraan hari dan malam orang Yahudi telah mengakibatkan dia membuat kesilapan serius mengenai pernyataan Hazrat Isa dan dia mengulangi kesilapan yang sama tentang nubuat bahawa dia akan berada berada di dalam kubur untuk tiga malam juga. Ungkapan tiga hari dan tiga malam adalah ungkapan yang kita tidak akan dengar, dengan menggunakan bahasa Inggeris, pada zaman ini. Oleh itu, adalah jelas bagi kita mencari maknanya mengikut penggunaannya di dalam bahasa Ibrani dalam abad pertama, dan kita berkemungkinan membuat kesilapan jika kita menafsirkannya mengikut struktur bahasa atau umpamaan di dalam bahasa yang lain, dalam zaman yang terkemudian.

Kita tidak pernah, dalam penggunaan bahasa Inggeris di abad kedua puluh, bertutur dalam segi hari dan malam. Jika seseorang itu berhasrat bercuti untuk dua minggu, dia akan kata bahawa percutian adalah untuk dua minggu atau empat belas hari. Saya tidak pernah berjumpa dengan sesiapa yang dapat bertutur dalam bahasa Inggeris bahawa dia akan bercuti selama empat belas hari dan empat belas malam. Ini adalah satu perumpamaan di dalam bahasa Ibrani kuno. Oleh itu, sejak dari mula lagi kita harus mengambil langkah berjaga-jaga, kerana jika kita tidak menggunakan perumpamaan yang demikian serupa, kita tidak boleh membuat anggapan bahawa mereka mempunyai, dalam zaman itu, maksud yang kita akan berikan kepada mereka hari ini. Kita mesti mencari maksud nubuat yang dibuat Hazrat Isa mengikut konteks masa di mana ianya telah diberi.

Tambahan pula, kita mesti mengaku bahawa perumpamaan, seperti yang digunakan di dalam bahasa Ibrani, sentiasa mempunyai bilangan hari dan malam yang sama. Nabi Musa berpuasa empat puluh hari dan empat puluh malam (Keluaran 24.18), Nabi Yunus berada di dalam perut ikan tiga hari dan tiga malam (Yunus 1.17). Kita lihat bahawa tiada seorang Yahudi yang akan berkata mengenai "tujuh hari enam malam" atau "tiga hari satu malam", walaupun ini adalah jangka masa yang dijelaskannya. Penggunaaan bahasa pada masa dan tempat itu sentiasa menggunakan bilangan hari dan malam yang sama dan sekiranya seorang Yahudi ingin membuat rujukan kepada satu masa tiga hari yang meliputi hanya dua malam, sudah tentu dia akan berkata mengenai tiga hari dan tiga malam. Satu contoh bagus mengenai perkara ini boleh dicari di dalam kitab Ester di mana permaisuri bersabda bahawa tiada sesiapa boleh makan atau minum untuk tiga hari, siang atau malam (Ester 4.16), tetapi pada hari ketiga, apabila hanya dua malam telah berlalu, dia telah memasuki bilik tuanku dan puasa itu telah dihentikan.

Maka jelaslah bagi kita bahawa "tiga hari dan tiga dalam", dalam penggunaan orang Yahudi tidak semestinya mengimplikasikan jangka masa sebanyak tiga hari penuh dan tiga malam penuh tetapi hanyalah satu penggunaan popular yang digunakan untuk meliputi mana-mana bahagian hari pertama atau hari ketiga.

Perkara penting di sini ialah bahawa bilangan hari dan malam yang sama sentiasa diperkatakan, walaupun bilangan malam sebenar kurang daripada bilangan yang disebut. Oleh kerana kita tidak menggunakan perumpamaan-perumpamaan sebegini hari ini, kita tidak harus lekas menghakimi maknanya tersendiri mahupun memaksa maksud asli yang diinginkan kita ke atas perumpamaan-perumpamaan itu.

Terdapat bukti konklusif di dalam Al-Kitab bahawa semasa Hazrat Isa memberitahu orang Yahudi bahawa dia akan berada di dalam perut bumi selama tiga hari dan tiga malam, mereka menghayati ini sebagai memaksud bahawa pengkabulan nubuat boleh dijangkakan hanya setelah dua malam. Pada hari selepas penyalibannya, iaitu hanya selepas satu malam, mereka telah menghadap Pilatus lalu berkata:

Tuan, kami ingat bahawa semasa penipu itu masih hidup, dia pernah berkata, 'Selepas tiga hari Aku akan dibangkitkan'. Oleh itu suruhlah orang mengawal kubur itu baik-baik sehingga hari ketiga. Matius 27.63-64
Kita akan memahami ungkapan "selepas tiga hari" sebagai bermaksud bila-bila pada hari keempat tetapi, mengikut penggunaan tempatan, orang Yahudi tahu bahawa ini merujuk kepada hari ketiga dan tidak begitu cemas untuk memastikan kubur itu dikawal baik-baik untuk tiga malam penuh tetapi hanya sehingga hari ketiga selepas hanya dua malam. Hakikatnya, nyata bahawa ungkapan-ungkapan "tiga hari dan tiga malam" dan "selepas tiga hari" tidak bermaksud satu jangka masa tujuh puluh enam jam sepertimana kita fahami, tetapi sebarang jangka masa meliputi masa sehingga tiga hari.

Jika seseorang memberitahu kita pada petang Jumaat hari ini, bahawa dia akan kembali kepada kita selepas tiga hari, kita mungkin tidak mengharapkan kepulangannya sebelum paling awal, hari Selasa minggu depan. Namun, orang Yahudi yang benar-benar mahu untuk menghalang termakbulnya nubuat Hazrat Isa (tidak kira benar atau palsu), inginkan kubur itu dikawal sehingga hari ketiga, iaitu, hari Ahad, kerana mereka tahu bahawa ungkapan-ungkapan "selepas tiga hari" dan "tiga hari dan tiga malam" tidak membawa maksud secara harfiah tetapi adalah mengikut simpulan bahasa yang digunakan ketika zaman itu.

Soalan yang penting ialah bukan cara kita mentafsir penggunaan ayat ini yang tidak mempunyai tempat dalam penggunaan moden hari ini tetapi bagaimana orang Yahudi mentafsirnya mengikut maksud dan istilah zaman mereka. Adalah cukup penting untuk diperhatikan bahawa apabila pengikut-pengikut Hazrat Isa mendakwa dengan berani bahawa Hazrat Isa telah bangkit dari alam maut pada hari ketiga, iaitu, hari Ahad selepas hanya dua malam telah berlalu (contohnya, Kisah Para Rasul 10.40), tiada sesiapa yang cuba untuk mempertikaikan kesaksian ini sebagaimana Deedat cuba dengan mendakwa bahawa tiga malam harus berlalu sebelum nubuat itu diterima sebagai termakbul. Orang Yahudi zaman itu kenal benar dengan bahasa mereka and oleh kerana Deedat jahil tentang cara percakapan mereka, dia menyerang nubuat Hazrat Isa, hanya kerana dia tidak berada di dalam kubur untuk tempoh tepat tiga hari dan tiga malam selama tujuh puluh dua jam. (Ini bermaksud, 'persinggahan' Nabi Yunus di dalam perut ikan tidak semestinya meliputi tiga hari and tiga malam penuh juga).

Oleh itu, setelah hujah lemah Deedat yang menentang mukjizat Hazrat Isa kepada orang Yahudi dinyahkan, kita boleh menyiasat apakah sebenarnya Mukjizat Nabi Yunus.

3. NABI YUNUS, SATU MUKJIZAT KEPADA PENDUDUK NINIWE.
Dua peristiwa penting berlaku apabila Allah mengutus Nabi Yunus ke bandar Niniwe untuk memberi amaran kepada penduduk kota itu mengenai kemusnahan bandar itu kerana kejahatannya. Yang pertama telah kita pertimbangkan, iaitu pembuangan nabi ke dalam laut dan peristiwa dia berada di dalam perut ikan untuk masa tiga hari. Adalah berguna kepada kita sekarang untuk memerhatikan kisah tersebut mengikut cerita di dalam Al-Qu'ran dan membandingkannya dengan cerita di dalam Al-Kitab untuk memastikan setakat mana mereka bersetuju. Kisah di dalam Al-Qur'an membaca:

And lo! Jonah verily was of those sent (to warn). When he fled unto the laden ship, and then drew lots and was of those rejected; and the fish swallowed him while he was blameworthy; And had he not been one of those who glorify (Allah), He would have tarried in its belly till the day when they are raised. Then We cast him on a desert shore while he was sick; and We caused a tree of gourd to grow above him; and We sent him to a hundred thousand (folk) or more. And they believed, therefore We gave them comfort for a while. Surah 37.239-148.
Cerita ini agak terputus-putus kerana tiada urutan peristiwa-peristiwa yang menunjukkan bagaimana setiap kejadian berhubung kait dengan kejadian yang seterusnya. Hanya kitab Yunus di dalam Al-Kitab yang memberi kesinambungan seluruh kisah itu. Nabi Yunus bersetuju mengambil undi bersama-sama kemudi-kemudi kapal yang lain untuk mengenalpasti siapakah yang menjadi sebab ribut yang melanda yang hampir melemaskan mereka. Undi itu jatuh ke atasnya dan dia telah dibuang ke dalam laut seterusnya ditelah oleh ikan besar. Selepas tiga hari, ikan itu telah memuntahkannya ke atas tanah dan dia pun menuju ke bandar Niniwe, dengan perisytiharan bahawa bandar itu akan dimusnah dalam empat puluh hari.

Peristiwa yang kedua ialah pertaubatan seluruh penduduk kota itu, dari rajanya kepada hambanya, apabila mereka mendengar amaran dahsyat itu. Kejutnya, Nabi Yunus marah apabila dia nampak penduduk kota bertaubat kerana dia tahu Allah memang pengasih dan mungkin akan memaafkan bandar itu. Sebagai orang Yahudi yang patriotik, dia telah berharap untuk kemusnahannya kerana ianya bandar utama kerajaan Asyur dan merupakan satu ancaman kepada keselamatan penduduk Israel. Dalam kepanasan yang terik, dia telah menunggu dan mengharapkan kebinasaannya, lalu Allah menumbuhkan sejenis tumbuhan yang memberi naungan dan teduh kepada Nabi Yunus. Tetapi pada hari berikutnya, Allah perintah seekor ulat untuk melayukan pokok itu. Nabi Yunus marah kerana hal ini, tetapi Allah berfirman kepadanya:

Tanaman ini tumbuh dalam satu malam saja, dan layu pada hari berikutnya; engkau sama sekali tidak menumbuhkannya atau memeliharanya. Walaupun begitu, engkau berasa kasihan kepada tanaman ini. Aku pasti lebih kasihan kepada Niniwe, kota yang besar itu kerana di situ terdapat lebih daripada 120,000 orang anak ang tidak tahu memberzakan apa yang baik dan apa yang jahat, dan juga banyak sekali binatang. Yunus 4.10-11
Peristiwa kedua yang penting ini, iaitu pertaubatan seluruh kota Niniwe, lebih menakjubkan apabila kita menfaktorkan bahawa orang Asyur tidak kenal dan tidak takut akan Allah dan tidak mempunyai sebab jelas kenapa mereka harus mentaati firman dan amaran yang dibawa oleh Nabi Yunus. Tiada mukjizat bahawa kota itu akan dibinasakan dalam empat puluh hari sebagaimana dikhabarkan Yunus kerana kehidupan seharian berjalan seperti biasa tanpa sebarang tanda dalam perubahan cuaca atau bencana-bencana yang akan menandakan hampirnya sebarang bahaya.

Tiada awan ribut yang berkumpul di atas kota itu seperti yang berlaku di zaman nabi Nuh semasa bah besar melanda bumi. Niniwe ialah bandar kuat dan tidak berada di bawah sebarang ancaman peperangan. Apa yang didengari oleh kota itu hanyalah suara seorang nabi Yahudi yang datang mengisytiharkan: Empat puluh hari lagi, Niniwe akan dihancurkan." (Yunus 3.4)

Kita sering nampak kartun orang tua-tua membawa tanda-tanda "Dunia akan berakhir hari ini" dan mereka itu satu sumber ejekan apabila mereka muncul di jalanraya dengan mesej-mesej sebegini. Memang orang Niniwe mungkin telah menganggap bahawa nabi Yunus sama seperti orang tua-tua itu dan senyum sinis ke atas usahanya, dan mungkin menjadi lebih keras kepala ke atas kandungan amaran-amarannya.

Apabila rasul Paulus melawat kota Athens, dia telah diterima dengan cara sebegitu. Sebagai balasan kepada khutbah-khutbahnya, ada sesetengah yang berkata, "Orang ini tahu apa?" (Kisah Para Rasul 17.18). Penduduk Niniwe yang mendengar nabi Yunus mungkin telah berpendapat sebagaimana orang Athens melayan rasul Paulus, "Nampaknya dia bercakap tentang dewa bangsa asing" (Kisah Para Rasul 17.18). Sebaliknya kita menemui bahawa:

Penduduk Niniwe percaya kepada perkhabaran Allah itu. Segenap rakyat mengambil keputusan untuk berpuasa, dan semua orang, baik yang kaya mahupun yang miskin, memakan kain guin untuk menunjukkan bahawa mereka menyesali dosa mereka. (Yunus 3.5)
Dari tahkta raja sehingga yang paling rendah sekali di kalangan rakyat biasa, beratus ribu penduduk Niniwe memandang serius amaran nabi Yunus, bertaubat dengan kuat sekali, dan mahu mengubah penghakiman yang bakal tiba ke atas bandar mereka. Yunus tidak berhasrat untuk meyakinkan mereka mengenai kebenaran amarannya yang serba ringkas dan mudah - dia hanya menyatakan sebagai satu hakikat. Dia juga tidak memberi sebarang jaminan bahawa Allah akan memaafkan mereka jika mereka bertaubat. Adalah bertentangan dengan hasrat dan niatnya supaya bandar itu akan dibinasakan samada orang Niniwe percayakan dia atau tidak.

Jadi kenapa seluruh kota itu bertaubat dengan harapan Allah tidak akan membinasakan mereka? (Yunus 3.9). Para sejarahwan Yahudi tertarik kepada kisah ini dan membuat kesimpulan bahawa jawapannya yang satu ialah, bahawa penduduk Niniwe tahu bahawa Yunus ditelan ikan sebagai penghakiman Allah ke atas kedegilannya, dan tahu bahawa dalam keadaan biasa Yunus sudah tentu mati tetapi Allah telah mengekalkan nyawanya dan membebaskannya dari perut ikan besar itu pada hari ketiga. Hanya ini sahajalah yang dapat menerangkan keseriusan penduduk Niniwe mendengar nabi Yunus dan harapan mereka terhadap kasih Allah sekiranya mereka bertaubat.

Para sejarahwan Yahudi berpendapat bahawa orang Niniwe percaya sekiranya Allah melayan nabi-nabi yang dikasihi-Nya dengan dahsyat sekali apabila mereka melanggar-Nya, apakah yang boleh diharapkan apabila seluruh kota itu benci akan Allah dan berada di bawah ikatan dosa?

Pendapat orang Yahudi betul. Hazrat Isa mengesahkan bahawa pertaubatan Niniwe datang kerana pengetahuan mereka mengenai penderitaan Nabi Yunus. Dengan jelas dia berkata:

Sebagaimana Nabi Yunus menjadi satu tanda bagi penduduk kota Niniwe, demikian juga Anak Manusia akan menjadi satu tanda bagi orang zaman ini. (Lukas 11.30)
Dengan kata-kata ini, Hazrat Isa mengesahkan kebenaran kisah pengalaman Nabi Yunus dan pertaubatan kota Niniwe dan mengesahkan bahawa kisah ini adalah sejarah. Pada masa yang sama dia juga memberi sokongan kepada teori bahawa orang Niniwe telah dengar mengenai penderitaan dan penyelamatan Nabi Yunus dan akibatnya, menerima pesanannya dengan begitu serius, dengan harapan penyelamatan yang sama dalam perubahan mereka dari kejahatan dalam pertaubatan kepada Allah. Dengan berkata bahawa Nabi Yunus menjadi satu tanda kepada penduduk kota Niniwe, dia menjelaskan bahawa kota itu tahu mengenai layanan Allah terhadap nabi yang degil itu. Ini menjelaskan keazaman orang Niniwe apabila mereka bertaubat di depan Allah.

Bukannya niat Hazrat Isa untuk mengesahkan spekulasi orang Yahudi. Dia ingin menunjukkan bahawa apa yang telah berlaku ketika zaman Nabi Yunus dan susulannya boleh berlaku kepada orang Israel dalam zamannya dan tanda yang hampir serupa akan diberi, yang akan membuka jalan kepada penyelamatan sesiapa yang menerimanya dan kemusnahan kepada mereka yang tidak.

4. TIADA MUKJIZAT KECUALI MUKJIZAT NABI YUNUS.
Menurut kedua-dua Al-Qur'an dan Al-Kitab, Hazrat Isa melakukan pelbagai mukjizat dan keajaiban di kalangan penduduk Israel (Surah 5.110, Kisah Para Rasul 2.22). Walaupun mereka tidak dapat mempertikaikan perbuatan-perbuatang itu (Yahya 11.47), mereka masih tidak mahu percaya kepadanya sehingga akhir hayatnya. Semasa dia menamatkan pelayanannya kita mendengar tindakbalas mereka kepada segala-segala yang dilakukan olehnya kepada mereka:

Meskipun Dia sudah melakukan semua mukjizat itu di hadapan mereka. (Yahya 12.37)
Berulang kali kita membaca bahawa orang Yahudi ingin melihat mukjizat daripadanya (Matius 12.38) dan pada satu ketika mereka tanyakan dia untuk memberi tanda dari syurga (Matius 16.1). Di tempat lain, mereka menanyakan dia soalan-soalan seperti begini:

"Mukjizat apakah yang dapat kamu lakukan untuk membuktikan bahawa kamu berhak bertindak seperti ini?" (Yahya 2.18)
"Mukjizat apakah yang dapat guru lakukan supaya kami boleh melihat dan percaya kepada guru?" (Yahya 6.30)

Manakala kebanyakan orang Yunani zaman itu ahli falsafah, orang Yahudi mahu setiap dakwaan dibuktikan oleh kebolehan untuk mengerjakan mukjizat. Seperti yang diperkatakan oleh Rasul Paulus dalam satu suratnya:

Orang Yahudi menuntut mukjizat sebagai bukti dan orang Yunani mementingkan kebijaksanaan. (1 Korintus 1.22)
Orang Yahudi tahu betul bahawa Hazrat Isa sedang mendakwa dalam caranya sendiri bahawa dialah al-Masih iaitu Penyelamat dari Allah. Jika ianya benar, mereka fikir bahawa dia harus mengerjakan mukjizat untuk membuktikan dakwaannya. Walaupun dia telah melakukan pelbagai mukjizat-mukjizat, mereka masih tidak puas hati. Mereka telah menyaksikan dia memberi makan kepada lima ribu orang dengan hanya lima buku roti dan dua ekor ikan (Lukas 9.10-17) tetapi mereka pula fikir bahawa Nabi Musa juga telah mengerjakan mukjizat-mukjizat yang setandingnya (Yahya 6.31). Dalam cara apakah Hazrat Isa dapat membuktikan bahawa dialah al-Masih yang terpilih? Tanda apakah yang dapat ditunjukkannya kepada mereka bahawa dia lebih besar daripada Nabi Musa?

Dalam zaman itu, manusia tidak sedia dipengaruhi oleh mukjizat-mukjizat dan tanda-tanda ajaib. Apabila tongkat Nabi Musa ditukar menjadi ular, ahli sihir Firaun mengerjakan perkara yang sama. Mereka juga meniru perbuatannya mengubah air kepada darah dan wabak katak dari Sungai Nil. Hanyalah apabila Nabi Musa menghasilkan agas daripada debu, barulah ahli sihir Firaun mengaku, "Allah telah melakukan hal ini!" (Keluaran 8.19) kerana mereka gagal melakukan perkara yang sama. Oleh itu orang Yahudi hanya sedia mempertimbangkan dakwaan-dakwaan Hazrat Isa jikalau dia dapat melakukan perkara yang lebih besar daripada nabi-nabi dulu. Mereka saksi kepada dia memberi makan kepada lima ribu orang, menyembuh pesakit kusta dan orang lahir buta, mengusir roh jahat, dan akhirnya menghidupkan orang mati walaupun orang itu sudah mati selama empat hari. Mereka mengaku mukjizat-mukjizat ini.

Semua ini tidak memuaskan mereka kerana nabi-nabi lain telah melakukan perkara yang hampir sama. Oleh itu, tanda apakah yang Hazrat Isa ada yang lebih unggul? Ya jika dialah al-Masih, sudah tentu dia boleh mengerjakan perkara yang jauh lebih besar daripada ini? Kenapa pula tidak? Nabi Musa memberi moyang mereka roti dari syurga untuk dimakan. Seperti nubuat mengenai al-Masih, dia akan melakukan mukjizat-mukjizat yang hampir sama. (Ulangan 18.18,34.10-11), oleh itu mereka menemui Hazrat Isa akhirnya dan "meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah." (Matius 16.1). Hazrat Isa memahami permintaan mereka lalu berkata:

"Alangkah jahatnya orang zaman ini! Mereka meminta mukjizat, tetapi tidak satu pun akan diberi kecuali mukjizat Nabi Yunus. Sebagaimana Nabi Yunus menjadi satu tanda bagi penduduk kota Niniwe, demikian juga Anak Manusia akan menjadi satu tanda bagi orang zaman ini." (Lukas 11.29-30)
Mereka inginkan satu tanda yang akan meleraikan kesangsian mereka bahawa Hazrat Isa sememangnya al-Masih, Penyelamat dunia. Di sini, Hazrat Isa menjawab dengan jelas dengan memberikan hanya satu tanda di mana mereka akan mendapat kepastian dakwaan-dakwaannya, iaitu mukjizat Nabi Yunus. Walaupun perkara ini telah disebutkan, adalah berguna kepada kita untuk mengulanginya:

Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut ikan besar, demikian juga Anak Manusia akan tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut bumi. (Matius 12.40)
Rangka dakwaan Hazrat Isa jelas digariskan. Nabi Yunus telah tiga hari dan tiga malam di dalam perut ikan. Bukan sahaja ini satu tanda kepada kota Niniwe tetapi ia juga pergambaran awal, tanda bahawa Hazrat Isa adalah untuk kaumnya dan bukan mereka sahaja tetapi untuk semua manusia untuk semua zaman. Dia akan "di dalam perut bumi" untuk tempoh yang sama. Apakah maksud kesemua ini? Adakah dia akan mati? Kenapakah dia harus di sana untuk tiga hari? Sudah tentu orang Yahudi pening kepala di atas dakwaan ini tetapi setiap kali mereka menanya dia untuk satu tanda, tiada tanda yang dijanjikan kecuali mukjizat Nabi Yunus. Pada satu hari dia berterus-terang kepada mereka mengenai maksudnya.

5. "RUNTUHKANLAH RUMAH TUHAN INI, LALU DALAM TIGA HARI..."
Apabila Hazrat Isa nampak bahawa orang Yahudi sedang mengubahsuai Rumah Tuhan (tempat menyembah Allah yang masyhur di mana kemuliaan-Nya ialah tumpuan bandar Yerusalem, dikenal di dalam Islam sebagai Baitul-Muqaddis) dari sebuah tempat doa ke tempat berurus niaga, dia telah menghalau penukar wang dan penjual-penjual kambing biri-biri, lembu dan burung merpati. Orang Yahudi pun berkata kepadanya:

"Mukjizat apakah yang dapat kamu lakukan untuk membuktikan bahawa kamu berhak bertindak seperti ini?" (Yahya 2.18)
Dalam erti kata lain, dengan kuasa siapakah kamu, seorang manusia, masuk ke dalam Rumah Tuhan yang hidup dan bertindak seolah-olah kamulah Tuan Rumah? Sekali lagi mereka meminta satu mukjizat lalu Hazrat Isa menjanjikan mukjizat yang sama:

"Runtuhkanlah Rumah Tuhan ini, lalu dalam tiga hari Aku akan membinanya lagi." (Yahya 2.19)
Sekali lagi Hazrat Isa memberikan mereka Mukjizat Nabi Yunus. Sekali lagi tersebutlah tempoh tiga hari tetapi dengan tambahan. Dia mencabar orang Yahudi untuk memusnahkan Rumah Tuhan dan dulu dia telah berkata mengenai dirinya di dalam perut bumi selama tiga hari, sekarang dia berkata mengenai Rumah Tuhan diruntuhkan selama tiga hari sebelum dibina semula. Oleh itu, orang Yahudi menanya dia:

"Empat puluh enam tahun sudah diperlukan untuk membina Rumah Tuhan ini! Engkau mahu membinanya lagi dalam tiga hari?" (Yahya 2.20)
Ini satu soalan bodoh. Mereka meminta untuk satu mukjizat dari Tuhan untuk mengesahkan tindakan yang diambil oleh Hazrat Isa. Jika dia telah kata "Runtuhkanlah Rumah Tuhan ini, lalu dalam empat puluh enam tahun Aku akan membinanya lagi", apakah ianya satu mukjizat? Tetapi dia kata dia akan melakukannya dalam tiga hari. Sudah tentu ini satu mukjizat untuk diperhati dan dihayati oleh mereka, membuktikan bahawa dialah sememangnya semua yang didakwanya.

Inilah salah satu kenyataan unggul Hazrat Isa dan sekiranya ada sebarang kenyataannya yang tidak mudah dilupai di dalam minda orang Yahudi, inilah kenyataan itu.

Semasa Hazrat Isa dibawa untuk dihakimi beberapa tahun kemudian, dua orang saksi yang dibawa untuk memberi keterangan menentangnya berkata mengenai kenyataannya itu. Seorang berkata, "Orang ini berkata, 'Aku dapat merobohkan Rumah Tuhan dan dalam tiga hari Aku dapat membinanya'" (Matius 26.61) Seorang lagi berkata, "Kami mendengar orang ini berkata, 'Aku akan merobohkan Rumah Tuhan yang dibina oleh manusia, selepas tiga hari Aku akan membina yang lain yang bukan buatan manusia.'" (Markus 14.58). Kedua-dua orang ini telah memutarbelitkan kenyataannya kerana salah faham dan ketidakupayaan untuk memahami maknanya. Tetapi mereka sedar, ianya satu kenyataan yang sukar dilupai dan penting!

Sememangnya ketika Hazrat Isa disalibkan, beberapa orang Yahudi mengejeknya lalu berkata, "Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya dalam tiga hari! Jika kamu Anak Allah, selamatkan dirimu dan turunlah dari salib!" (Matius 27.40). Demikian juga setelah Hazrat Isa telah naik ke syurga, orang Yahudi masih memperkatakan cabarannya dan berangan-angan bahawa adalah kepercayaan Kristian bahawa Hazrat Isa akan kembali memusnahkan tempat suci mereka (Kisah Para Rasul 6.14)

Tumpuan amat besar yang diberi oleh orang Yahudi kepada kenyataan "Runtuhkanlah Rumah Tuhan ini, lalu dalam tiga hari Aku akan membinanya lagi" menunjukkan betapa penting kenyataan itu. Mahupun orang Yahudi memperolokkannya, mereka tidak sedar bahawa merekalah yang memusnahkan Rumah Tuhan itu dengan menyalibkan Hazrat Isa di atas kayu salib; dan tidak sedar juga bahawa pada hari ketiga mereka akan tahu dia telah bangkit kembali. Apabila Hazrat Isa berkata "Runtuhkanlah Rumah Tuhan ini" dia tidak merujuk kepada bangunan yang masyhur di kota itu tetapi kepada tubuhnya sendiri. Di dalam Injil Yahya, Yahya mengulas ke atas pernyataan orang Yahudi mengenai bilangan tahun yang diperlukan untuk membina Rumah Tuhan, "Sebenarnya Rumah Tuhan yang dimaksudkan oleh Yesus itu, tubuh-Nya sendiri." (Yahya 2.21)

Hazrat Isa berkata, dialah Anak Manusia, yang akan berada di dalam perut bumi selama tiga hari dan apabila dia berucap kepada orang Yahudi, sudah jelas dia tidak bermaksudkan Rumah Tuhan di kota Yerusalem yang telah disucikannya. Tetapi kenapa dia merujuk kepada dirinya sebagai Rumah Tuhan? Kita hanya memerlukan sedikit pemahaman ke atas pelayanan dan identitinya untuk mendapat jawapannya. Orang Yahudi mahukan dia membukti bahawa dialah al-Masih dan untuk ini, mengharapkannya memberi mukjizat bahawa Dia lebih besar daripada semua nabi-nabi dahulukala. Dalam jawapannya, Hazrat Isa berhasrat untuk menunjukkan bahawa dia bukan sebarang nabi biasa. Rumah Tuhan di Yerusalem hanya mengandungi hadirat kemuliaan Allah, tetapi mengenai Hazrat Isa kita diberitahu:

Keperibadian Allah juga terdapat sepenuhnya dalam diri Anak, Kristus itu imej Allah yang tidak dapat dilihat. Seluruh keperibadian Allah juga terdapat pada diri Kristus. (Kolose 1.19,15; 2.9)
Perkara sebenar yang dimaksudkan Hazrat Isa ialah: Musnahkan aku, di mana keperibadian Allah terdapat sepenuhnya, bunuhlah aku dan dengan membangkitkan diri saya dari maut tiga hari nanti, akan aku memberi engkau segala bukti yang diperlukan untuk mengaku aku sebagai Tuan Rumah Tuhan.

6. ERTI MUKTAMAD MUKJIZAT NABI YUNUS.
Maka jelaslah mengapa Hazrat Isa memberi orang Yahudi satu tanda, iaitu mukjizat Nabi Yunus. Kematian, pengebumian dan kebangkitannya dari alam maut pasti membuktikan bahawa dialah Al-Masih.

Kita sudah lihat bahawa orang Yahudi meminta mukjizat dari syurga, satu pekerjaan yang lebih unggul daripada apa yang pernah dilakukan oleh sebarang nabi di dalam sejarah manusia untuk membuktikan dakwaan-dakwaannya; dan apabila kita melihat kepada mukjizat-mukjizat nabi-nabi dahulu, kita perhatikan dengan lebih lagi, signifikasi Mukjizat Nabi Yunus. Seperti yang dibincangkan awal lagi, sebelum penghakiman dan penahanan Hazrat Isa, mukjizat terpentingnya ialah membangkitkan Lazarus dari mati selama empat hari. Tetapi ini tidak dapat meyakinkan orang Yahudi (Yahya 12.911). Perkara sebegini telah dilakukan dalam zaman nabi Elisha.

Tetapi perbuatan apakah yang boleh dilakukan selain menghidupkan kembali orang mati? Hanya satu sahaja. Jika orang itu, selepas mati berupaya membangkitkan dirinya dari alam maut dan hidup kembali, sudah tentu inilah mukjizat yang lebih besar, dan mukjizat ini tidak dilakukan oleh sebarang nabi sebelum Hazrat Isa.

Nabi-nabi hidup telah membangkitkan orang mati tetapi mukjizat yang dijanjikan Hazrat Isa ialah bahawa al-Masih akan membangkitkan dirinya dari alam maut. Inilah Mukjizat Nabi Yunus. Orang Yahudi memperolokkan Hazrat Isa di kaki kayu salib, "Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya dalam tiga hari!", tetapi mereka tidak tahu, bahawa selepas meninggal dunia beberapa jam kemudian Hazrat Isa akan membangkitkan dirinya dari alam maut pada hari ketiga dengan bukti kukuh bahawa dialah al-Masih dan rumah tuhan yang paling muktamad, dialah di mana keperibadian Allah terdapat sepenuhnya di dalam dirinya. Sebagaimana Nabi Yunus telah kembali dari perut ikan di dalam lautan dalam untuk hidup di atas bumi, maka Hazrat Isa akan mati, dikebumikan, dan akhirnya membangkitkan dirinya kembali pada hari ketiga. Pernah sekali Hazrat Isa menjelaskan mengenai ini kepada orang Yahudi:

"Bapa mengasihi Aku kerana Aku bersedia menyerahkan nyawa-Ku, supaya Aku boleh menerimanya kembali. Tidak seorang pun yang dapat mengambil nyawa-Ku daripada-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berhak menyerahkannya dan Aku berhak mendapatkannya kembali. Inilah tugas yang Aku terima daripada Bapa-Ku." (Yahya 10.17-18)
Bukan sahaja Hazrat Isa memudahkan bahawa dia akan membangkitkan dirinya dari alam maut pada hari ketiga tetapi dia juga sering menunjuk bahawa dialah lebih besar daripada nabi-nabi yang sebelumnya. Apabila orang Yahudi bertanya, "Adakah kamu lebih besar daripada Ibraham?" (Yahya 8.53), Hazrat Isa menerangkan dengan jelas dengan berkata bahawa Abraham bersukacita melihat masa kedatangannya (Yahya 8.56) dan menambah, "Sebelum Abraham dilahirkan, Aku sudah ada." (Yahya 8.58). Dalam cara sama, seorang wanita Samaria berkata kepadanya, "Adakah tuan menyangka bahawa tuan lebih besar daripada Yakub?" (Yahya 4.12) lalu Hazrat Isa menjawab bahawa, sementara Yakub telah meninggalkan sebuah perigi di tanah Samaria dari mana orang akan minum tetapi menjadi dahaga semula, dia dapat meletakkan satu mata air di dalam diri manusia yang memancar dan orang itu tidak akan dahaga lagi (Yahya 4.14).

Dia menunjukkan bahawa dia lebih besar daripada Nabi Musa, kerana Nabi Musa menulis mengenainya (Yahya 5.46). Dia lebih besar daripad Nabi Daud kerana Daud, katanya, "diilhami oleh Roh Allah, menyebut Penyelamat itu 'Tuhan'" (Matius 22.43). Dia dengan terang mengatakan bahawa dia lebih besar daripada nabi-nabi Sulaiman dan Yunus (Lukas 11.31,32) dan dia lebih besar daripada Rumah Tuhan (Matius 12.6), kerana Rumah Tuhan hanya mengandungi satu manifestasi kehadiran Tuhan sahaja tetapi di dalam dirinya, seluruh keperibadian Allah memenuhi.

Tiada manusia yang lebih bijak daripada Nabi Sulaiman tetapi Hazrat Isa Kebijaksaan Allah (1 Korintus 1.24). Nabi Yunus menjadi sumber pertaubatan untuk orang Niniwe tetapi Hazrat Isa sumber segala penyelamatan yang kekal dan sejati untuk sesiapa yang mentaatinya (Ibrani 5.9)

Walaupun terdapat banyak nabi, hanya terdapat satu Al-Masih/Penyelamat. Dan di mana nabi-nabi telah melakukan pelbagai mukjizat, Al-Masih itu melakukan mukjizat yang terunggul sahaja. Sebagaimana pengalaman Nabi Yunus di dalam perut ikan memberi gambaran kepada mukjizat itu, iaitu kebangkitan Hazrat Isa dari alam maut, Hazrat Isa menentukan mukjizat ini sahaja sebagai bukti bahawa dialah Al-Masih itu.

Ini membawa kita untuk menimbang satu kesimpulan Deedat di dalam satu risalah lain di mana dia menulis bahawa tidak ada pernyataan jelas Hazrat Isa di sepanjang kitab-kitab Injil mengenai penyalibannya selain daripada Mukjizat Nabi Yunus (Deedat, 'Was Christ Crucified?', ms. 33). Dia membuat kenyataan ini dalam percubaannya, seperti yang dilakukannya dalam risalahnya yang dibincangkan, untuk membukti bahawa Hazrat Isa masih hidup apabila dibawa turun dari salib, sembuh di dalam kubur dan kembali sihat.

Sekiranya Hazrat Isa dibawa turun dari salib dalam keadaan hidup dan selamat hanya kerana dia sudah hampir mati dan askar Romawi sangka dia sudah mati, dan berjaya melalui perjumpaan sulit dengan pengikut-pengikutnya dan pelbagai penyamaran untuk kembali sembuh (seperti yang didakwa Deedat), mukjizat apakah tanda ini? Sekiranya kita harus menerima dakwaan Deedat, kita mesti membuat kesimpulan bahawa Hazrat Isa terlepas dari maut kerana nasib dan kembali hidup melalui proses biasa. Ini bukan lagi satu mukjizat, mahupun yang terunggul di antara segala mukjizat. Analisa Deedat meninggalkan kita dengan tiada sebarang mukjizat!

Sebaliknya, jika kita menerima kisah penyaliban di dalam Al-Kitab dan menerima bahawa Hazrat Isa mati di salib, hanya untuk membangkitkan dirinya dari maut pada hari ketiga, kita mempunyai mukjizat yang pasti dan bukti bahawa segala dakwaan-dakwaannya adalah benar. Nabi-nabi lain telah membangkitkan orang mati, tetapi Hazrat Isa membangkitkan dirinya dari maut kepada alam kekal dan sejati, kerana dia telah naik ke syurga dan berada di sana hampir dua puluh abad. Hanya di dalam hal inilah kita menghayati maksud Mukjizat Nabi Yunus dan dapat memahami kenapa Hazrat Isa mengecualikan mukjizat itu sebagai satu-satunya mukjizat yang dia sedia memberi kepada orang Yahudi.

Oleh itu, kita nampak bahawa hujah Deedat terakhir kepada teorinya yang Hazrat Isa hidup walaupun disalibkan sebenarnya merupakan bukti terkukuh menentang hujahnya sendiri. Walaupun risalah-risalahnya sedang dibidas, perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana mukjizat yang diberi Hazrat Isa mempunyai implikasi abadi kepada semua manusia di semua zaman. Sebagaimana pengalaman Nabi Yunus di dalam perut ikan memberi kesaksian kepada amarannya kepada kota Niniwe, begitulah kematian, pengebumian dan kebangkitan Hazrat Isa membenar dan membuktikan misi penyelamatannya kepada semua manusia di semua zaman. Jika signifikasi dan kepentingan mukjizat ini gagal difahami dan dihayati oleh kamu, Hazrat Isa tidak memberi mukjizat lain. Bukti-bukti lain tidak perlu diberikan kepada mereka yang enggan percaya kepadanya sebagai Tuhan dan Penyelamat.

Namun, kita mempunyai kepastian dan syor kepada mereka yang berjaya menghayati maksud mukjizat ini dan yang sudah bersedia untuk percaya dalam Hazrat Isa dan mengikutnya segala hidup mereka sebagai Tuhan dan Penyelamat; sepertimana tiada jiwa di Niniwe yang musnah, begitulah juga nyawa kamu sekiranya kamu menyerahkan segala hidup kamu kepada Hazrat Isa yang mati untuk kamu dan bangkit dari alam maut pada hari ketiga supaya kamu juga dapat menikmati hidup abadi bersama-samanya di dalam kerajaan syurga yang akan diperkenalkan bila dia kembali nanti.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Terima kasih, biarkanlah komentar/tanggapan yang akan anda tulis tidak berdasarkan kebencian, kedengkian, atau rasa permusuhan. Tetapi biarkanlah apa yang anda tulis dapat menjadi bahan perenungan, kekuatan, dan sebagai kesaksian anda.
SILAHKAN TULIS KOMENTAR ANDA :

Catatan: Hanya anggota dari blog ini yang dapat mengirim komentar.